Saturday, March 29, 2008

Exco Selangor 2008

Senarai Penuh Exco Negeri Selangor
24 Mac 2008
Berikutan adalah senarai penuh dan biodata Exco Negeri Selangor yang mengangkat sumpah hari Isnin, 24/3/08.

1. YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim

Dato’ Menteri Besar

Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri , Belia & Sukan




YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim lahir pada tahun 1946 di Jeram, Selangor dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975. YAB Tan Sri pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan di Permodalan Nasional Berhad termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan dan sehingga 2003 merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Highlands and Lowlands dan Guthrie Ropel. Antara tanggungjawab yang disandang oleh YAB Tan Sri termasuklah anggota Jawatankuasa Eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum Bank Pembangunan Islam, Jeddah disamping anggota gantian Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Beliau juga berada di dalam lembaga Pusat Produktiviti Kebangsaan dan Lembaga Amanah Institut Kajiselidik Ekonomi Malaysia. Di dalam Parti Keadilan Rakyat, YAB Tan Sri memegang jawatan Setiausaha Agung. YAB Tan Sri Dato’ Khalid telahpun berkahwin dan mempunyai empat orang cahaya mata.



2. YB Teresa Kok Suh Sim

Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan


YB Teresa Kok, 43 tahun turut memegang jawatan Ahli Parlimen Seputeh sejak 1999. Beliau memperoleh Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sains Politik serta Sarjana Falsafah dari Universiti Malaya. Beliau merupakan Setiausaha Kaukus Myanmar Antara Parlimen ASEAN dan aktif di dalam kegiatan hak asasi manusia. Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Terpilih Semakan Kod Penal dan Prosedur Jenayah di Parlimen. Pada masa yang sama beliau memegang jawatan Setiausaha Publisiti DAP dan Setiausaha Nasional Wanita DAP.



3. YB Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali

Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam


YB Dato’ Dr. Hassan Ali lahir pada 1947 di Selangor. Beliau mendapat Sarjana Muda Sastera Kepujian dari Universiti Malaya, Sarjana Sains Perancangan Bandar dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Sabha Group Sdn. Bhd. Dan Akademi Keluarga Bahagia. Kini beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sg. Burong pada penggal 1999-2004. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai 8 orang anak.



4. YB Yaakob bin Sapari


Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan


YB Yaakob bin Sapari berusia 47 tahun, tinggal di Seri Kembangan, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sains di dalam Perniagaan Tani dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Putra Malaysia, serta Diploma Pengajian Islam dan Siswazah Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini merupakan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Agama Hulu Langat. Di dalam Keadilan beliau merupakan Timbalan Pengerusi Selangor dan Ketua Bahagian Puchong. Beliau sudah berkahwin dan dianugerahkan 8 orang cahaya mata.



5. YB Rodziah binti Ismail

Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi



YB Rodziah binti Ismail, 43 tahun, tinggal di Shah Alam, Selangor bersama suami dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia, Higher National Certificate in Childhood Education and Development dari Scotland dan Diploma Pendidikan Islam, Al Quran dan As Sunnah. Aktif di dalam masyarakat termasuk Persatuan Pengasih Berdaftar Malaysia, Persatuan Taska Selangor, Jawatankuasa Pencegahan Juvana dan Jemaah Islah Malaysia. Beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat.



6. YB Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam


Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin


YB Dr. Xavier Jayakumar, 55 tahun, tinggal di Klang, Selangor bersama isteri dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pembedahan Pergigian. Beliau merupakan Setiausaha Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Malaysia dan Presiden Kelab Rotari Klang. Di samping itu beliau aktif di dalam Persatuan Hemodialisis Klang dan Education Welfare Reach Foundation. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan serta Ketua Bahagian Kota Raja.



7. YB Dr. Halimah binti Ali

Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan


YB Dr. Halimah Ali, 47 tahun , tinggal di Klang, Selangor bersama suami dan 6 orang anak. Beliau memperoleh Ijazah Perubatan dari Universiti Tasmania, Australia dan berkhidmat sebagai doktor di Hospital Klang. Beliau merupakan Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.



8. YB Iskandar bin Abdul Samad


Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan


YB Iskandar Abdul Samad, 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.



9 . YB Ronnie Liu Tian Khiew


Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan


YB Ronnie Liu, 50 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Beliau memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan kemudian berkecimpung di dalam bidang pengiklanan. Beliau aktif di dalam Jawatankuasa Bertindak Menara Transmisi Rawang, Jawatankuasa Bertindak Menentang Insinerator Broga, Kempen Anti Penswastaan Air dan Kempen Anti Penswastaan Hospital Awam. Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.



10. YB Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong


Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar



YB Elizabeth Wong berusia 38 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sastera University of Sidney dan aktif di dalam NGO seperti Suara Rakyat Malaysia, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan SOS Selangor. Beliau kini merupakan Ketua Penerangan Wanita Keadilan dan Ketua Penerangan Keadilan Bahagian Petaling Jaya Utara.



11. YB Eam Yong Hian Wah


Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang


YB Ean Yong Hian Wah, 29 tahun, lahir di Kajang, Selangor. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Bradford, United Kingdom. Penglibatan kemasyarakatan beliau termasuklah sebagai Pengerusi Persatuan Alumni Kolej New Era, Ahli Lembaga Pengelola Kolej New Era dan Gabungan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor. Beliau kini merupakan Pengerusi DAP Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP.


Perhimpunan Agong Umno 2008 16-20 December



Semalam diputuskan mesyuarat Agong peringkat Cawangan UMNO tahun ini mesti dijalankan bermula 17-24 Ogos ,Peringkat bahagian 9 Oktober - 9 November dan Peringkat Parti 16-20 December ....

Tuesday, March 25, 2008

Ahli Parlimen Kuala Selangor yang baru


Ini pulak ahli parlimen kuala selangor yang baru .. dari PAS ..

Biodata beliau :
UMUR : 52 TAHUN (1 JANUARI 1956)
ASAL : REMBAU, NEGERI SEMBILAN
MENETAP : SHAH ALAM, SELANGOR
KELAYAKAN AKADEMIK :
PH. D DI DALAM BIDANG TOXICOLOGY, IMPERIAL COLLEGE, UNIVERSITI OF LONDON, UK
PENGALAMAN KERJAYA :
AHLI POLITIK
PENSYARAH
KONSULTAN
AHLI PERNIAGAAN
JAWATAN DI DALAM PARTI : PENGARAH PUSAT PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN PAS

Menteri Besar Selangor yang baru ... ( merangkap ADUN Ijok )


Ini gambar Menteri Besar Selangor yang baru merangkap ADUN IJOK ... Tan Sri Khalid Ibrahim ....

Biodata beliau :
Khalid adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).


Biodata

Abdul Khalid lahir pada 1946 di Kampung Jalan Raja Abdulah, Jeram, Kuala Selangor. Khalid Ibrahim belajar di Sekolah Melayu Jeram pada 1956 dan menduduki Special Malay Class. Seterusnya belajar di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan.

Khalid Ibrahim mendapat ijazah BA.Hons dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.

Kerjaya

Khalid Ibrahim pernah bekerja sebagai guru, pensyarah, pegawai kredit , pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB). Beliau pernah menghadiri kursus USA International Visitors Program pada 1983 dan Eisenhower Exchange Fellowship Program pada 1989.

Beliau juga ahli majlis eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum di Islamic Development Bank, Jeddah. Beliau juga ahli APEC Business Advisory Council (ABAC).


Anugerah


Pada 15 Disember 1998, beliau dianugerah sebagai CEO Malaysia Terbaik 1997 dari majalah Business Times anjuran Business Times Sdn. Bhd. dan the American Express Corporate Services. Khalid Ibrahim juga menerima Anugerah International Alumnus dari Universiti Queensland 2001.

Pada 10 Julai 2003 menerima anugerah “AAAB Captain of Industry Award 2002” (First Asian Academy of Applied Business”) dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seterusnya menjadi pensyarah pelawat di Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford .


Atas jasa beliau, Guthrie Berhad telah membina Lebuh raya Guthrie dari Kuala Selangor ke Sungai Buluh bersambung dengan Lebuh raya Utara Selatan. Pusat latihan penyelenggaraan jentera industri dengan kerjasama UMW Berhad telah dibina di Kuala Selangor.

Program Rakan Jaya Diri diadakan di Kuala Selangor bagi melatih pelajar yang tercicir dari persekolahan dan seterusnya bekerja dengan Guthrie Berhad.